Thursday 25 May 2017

Pengerusi PERSALAM

Perutusan Pengerusi PERSALAM
Assalamualaikum
Alhamdulillah.Tahniah kepada Pengurusan dan jemaah Surau Luqman Al-Hakim kerana telah berjaya menganjurkan program 10 tahun Surau Luqman Al-Hakim dan memberi ruang untuk PERSALAM turut sama menganjurkan hari keluarga PERSALAM 2017. Dua hari prorgram yang amat bermakna buat warga muslim Bandar Setia Alam.
Setinggi penghargaan juga buat semua urusetia dan pengerusi-pengerusi surau yang banyak memberi sokongan serta mereka yang membantu secara langsung dan tidak langsung.
Saya merasakan ramai yang belum mengetahui sejarah awal aktiviti muslim di Bandar Setia Alam. Surau Luqman Al-Hakim merupakan surau yang pertama beroperasi yang menjadi platform awal ukhwah penduduk Islam Setia Alam. Penggerak dari Surau ini jugalah yang menggerakkan surau-surau lain yang terawal ketika itu Surau As-Salam dikuti Surau Ar-Raudhah, Surau Al-Mukhlisin dan lain-lain. Penggerak yang sama jugalah yang membawa agenda besar terutamanya pembinaan Masjid Setia Alam. Kini Setia Alam mempunyai 14 Surau yang telah berdaftar dengan JAIS. Masih ada beberapa surau yang belum lagi di aktifkan.
Sejak saya diamanahkan memimpin PERSALAM pada akhir tahun 2014 daripada pemimpin lama yang juga penggerak awal dari AJK Surau Luqman Al-Hakim. Saya melihat Surau Luqman antara surau yang paling aggresif membantu surau-surau baru yang cuba digerakkan melalui sumbangan kutipan jumaat memandangkan ketika itu Surau Luqman merupakan Surau Jumaat yang pertama di Setia Alam. Alhamdulillah, usaha tersebut masih diteruskan oleh pengurusan Surau Luqman. Kini terdapat 3 Surau Jumaat di Setia Alam iaitu Surau As-Salam dan Surau Al-Ihsan (yang terkini).
Meraikan 10 tahun Surau Luqman Al-Hakim bermakna kita meraikan kerja-kerja awal usaha menggerakkan komuniti Islam ini dilaksanakan juga bererti membuktikan kesatuan dan kekuatan kita di Setia Alam.
Tahniah kepada yang hadir memberi sokongan. Kehadiran itu moga menjadi penyuntik semangat untuk orang lama dan juga baru agar terus memberi sumbangan kepada komuniti Islam.
Terima kasih juga kepada yang hadir ke Hari Keluarga PERSALAM 2017. Program yang ringkas dalam suasana yang penuh ukhwah. Ditambah dengan kehadiran orang-orang lama Setia Alam amat meberi motivasi bagi kami. Ruang dan sumbangan dari pengurusan Surau Luqman Al-Hakim buat PERSALAM amat kami hargai.
Melalui PERSALAM, saya cuba mewujudkan satu agenda yang lebih besar selain merapatkan ruang ukhwah sesama muslim. PERSALAM cuma mewujudkan perintis komuniti muslim contoh dan yang paling penting mempunyai kekuatan suara yang besar dalam sebarang isu bagi memastikan kesejahteraan Muslim di Setia Alam terpelihara walaupun cabarannya agak besar.
Misi yang besar itu amat memerlukan sokongan semua penduduk Islam di Setia Alam. Terus hadir memberi sokongan kepada aktiviti muslim di Setia Alam dan ketahuilah, anda adalah penyumbang kepada agenda ummah yang semoga dengan itu ALLAH SWT memberi ganjaran dan rahmat buat sahabat semua. Semoga ikatan ukhwah ini terus berterusan.
Ukhwah tanpa sempadan.
Rushdan Rusmi
PERSALAM U13

No comments:

Post a Comment